Namun cerita yang nak dijadikan pengajaran ni, pasal mentaliti rakyat Malaysia. Kadang-kala pasal duit, manusia ni sanggup buat apa saja termasuk bersikap kurang ajar. Saya rasa itulah perkataan yang paling sesuai digunakan.
Ceritanya bermula dengan semangat yang beriya-iya nak menunjukkan A Famosa kepada anak-anak. Dari hotel asyik sebut je dan itulah destinasi pertama yang nak dituju. Mula-mulanya seronok betul walaupun panas terik dan peluh menitik-nitik bak air terjun, namun kepenatan mendaki tangga-tangga hingga ke puncak, hilang dengan pandangan bandar Melaka yang sungguh indah.
Sampai saja di puncak, kami terus masuk ke dalam bangunan yang dah uzur tu. Sebelum masuk kami dapat mendengar bunyi petikkan gitar dan suara yang sungguh merdu. Apabila melangkah masuk, beberapa orang pengunjung sedang khusyuk mendengar dendangan lagu. Anak-anak ni memanglah tak berminat, terus berlari ke dalam lagi. Sambil berjalan ke arah anak-anak, ada seorang perempuan tengah mengambil gambar penyanyi. Dari jauh penyanyi sempat berhenti menyanyi dan berpesan tangkap gambar RM2.00. Perempuan tu macam terkejut ada juga tapi tetap menghulurkan duit.
Saya dan suami teruskan perjalanan ke bahagian dalam A Famosa sebab anak-anak banyak soal. Nak ambil gambar pun, kamera tak ada. Itulah cuma handphone untuk kenangan anak-anak. Bila anak-anak dah puas, kami pun nak keluarlah dari situ. Semasa tu memang kami je yang tinggal kat situ dan lagu tetap berkumandang. Apabila kaki melangkah keluar je, tiba-tiba lirik lagu yang begitu cantik tadi berubah. Liriknya berbunyi begini, "kalau tak nak bagi duit, boleh baliklah". Dan bunyi gitar pun berhenti.
Aduh!! Punyalah menyirapnya saya dan suami. Beginikah caranya kita nak menarik pelancong? Sedangkan sesetengah orang mungkin datang ke puncak tu untuk melihat struktur bangunan, melihat sejarah kita dan bukannya sekadar nak dengar dia orang menyanyi. Lagipun A Famosa tu milik dia orang ke?! Boleh dikatakan sampai turun dari bukit tu mulut ni masih membebellah. Memang spoil mood orang je. Baru puji Melaka tiba-tiba dapat pulak layanan macam tu.
Pada pendapat saya, tempat-tempat bersejarah seperti ini tidak patut ada penghibur-penghibur yang kurang ajar. Kalau nak cari rezeki pun, biarlah ikhlas. Kalau macam tu, buat kaunter sebelum masuk ke A Famosa. Bayaran untuk mendengar lagu yang didendangkan semasa menikmati keindahan bangunan lama itu. Barulah puas hati.
Apa-apapun, disebabkan Melaka memang tempat yang sangat indah, maka hatiku tidaklah kecewa sangat. Tapi yang pastinya, kalau bercadang nak ke Melaka lagi, saya takkan ke A Famosa.