Friday, February 11, 2011

Alhamdulillah

     Sekembalinya membuka tirai 2011, inspirasi berputik apabila seorang anak murid mendorong untuk terus berkongsi buah fikiran dalam coretan yang sudah lama tenggelam ini.  Dengan membuat perjanjian bersama anak murid untuk mencapai matlamat masing-masing, aku pula bermatlamat sekurang-kurangnya sebulan sekali membuat entri.

    Alhamdulillah, terbuka pintu hati untuk berkongsi perkataan yang amat bermakna bagiku.  Dalam setiap perjalanan hidup, lidah tidak pernah kelu daripada mengucapkan alhamdulillah.  Kuasa yang Maha Esa, penyejuk jiwa raga.  Dalam kemarahan, dalam kesukaran, dengan nafas yang panjang, Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.  Berkat keredhaan dan kesabaran, hati pun reda, jiwa pun tenang.

    Sememangnya setiap kali membuka mata, rasa syukur perlu ada untuk terus cekal menempuhi liku-liku kehidupan.  Tatkala hidup dalam kegelapan, usah mudah berputus asa.  Usah cepat melatah, usah membelakangi yang Maha Esa.  Pasti suatu hari sinar cahaya akan mewarnai potret hidup kita.  Walaupun tiada daun-daun emas bertaburan di halaman rumah, namun hadirnya tapak kaki kecil yang menghiasi taman, cukup indah untuk mengucapkan Alhamdulillah.

    Tatkala kita gagal dalam pelajaran atau percintaan, jangan cepat mengalah.  Jangan mencari jalan mudah.  Pasti segalanya ada hikmah.  Tatkala jatuh tersungkur, pasti ada tangan yang menghulur.  Masih ada yang mendengar walau bibir terketat rapat.  Masih ada sahabat, yang memberi kata-kata semangat.  Alhamdulillah.  Kuasa yang Maha Esa.    Namun, dalam kesenangan, jangan pula lupa daratan.  Kita manusia sama sahaja.  Cuma takdir yang berbeza.  Maka beringatlah, baik yang tua atau yang muda.  Dengan rezeki yang Allah permurahkan, tidak sukar untuk kita, menjunjung kedua belah tangan, Alhamdulillah.

1 comment: